Khamis, 17 Disember 2009

Rasulullah sebagai pedoman hidup


BERARAK sambil mengalunkan puji-pujian ke atas junjungan Nabi Muhammad s.a.w., ceramah Maulidur Rasul dan kenduri kesyukuran adalah amalan lumrah masyarakat Islam di negara ini, acap kali tibanya hari kelahiran Rasulullah s.a.w.

Bagaimanapun terdapat segelintir pihak yang mempertikaikan upacara sambutan sebegini dengan alasan ia tidak pernah dilakukan oleh Rasulullah s.a.w.


Namun menyedari hari itu sarat dengan falsafah, makna serta lambang kemegahan dalam kehidupan seorang Islam, sekali gus memperingati kisah perjuangan Baginda menyebarkan syiar Islam, maka tidak salahnya umat Islam menyambut sesuatu peristiwa besar dalam takwim hijrah ini.


Pun begitu, janganlah sehingga upacara di atas itu semacam satu kemestian, apatah lagi kesannya cuma sesaat sahaja. Lebih menyedihkan apabila perayaan hanya tinggal perayaan dan impaknya kepada umat Islam umpama mencurah air di daun keladi.


Kita mahu ada anjakan selepas sambutan peristiwa Maulidur Rasul. Kita tidak mahu ia statik di situ sahaja. Sambutan Maulidur Rasul perlu meninggalkan kesan kepada kita, pertama kita perlu ambil intipati peristiwa besar itu bukan aksesorinya atau hiasan luarannya sahaja.
Sambutan seperti perarakan dibolehkan cuma yang perlu diberi penekanan ialah saripati daripada sejarah perjuangan, kejayaan dan keazaman baginda itu dijadikan pedoman dalam kehidupan sehari-hari.Lantas, apa kesan yang tinggal selepas sesuatu acara sambutan Maulidur Rasul itu disambut adalah lebih penting dan perlu difikirkan.


Sempena sambutan Maulidur Rasul ini, seharusnya umat Islam mengingati tiga tugas utama Nabi Muhammad dan sentiasa ingin meniru sifat Baginda Rasulullah. Barulah Maulidur Rasul yang disambut setiap tahun itu tidak tinggal tema dan amanat sahaja.

Ayat yang menyebut tentang tugas Rasulullah dijelaskan dalam surah Ali Imran ayat 164. Allah berfirman yang bermaksud: Sesungguhnya Allah telah memberi kurnia kepada orang-orang yang beriman ketika Allah mengutus di antara mereka seorang rasul dari golongan mereka sendiri, yang membacakan kepada mereka ayat-ayat Allah, membersihkan (jiwa) mereka dan mengajarkan kepada mereka al-Kitab dan al-Hikmah. Dan sesungguhnya sebelum (kedatangan Nabi) itu, mereka adalah benar-benar dalam kesesatan yang nyata.



Tiga tugas itu ialah;
* Pertama, membacakan kepada mereka ayat-ayat Quran. Oleh itu umat Islam tidak sekadar membaca al-Quran semata-mata tetapi kejadian alam semula jadi, itu juga adalah ayat-ayat Tuhan. Justeru itu, umat Islam perlu menjadi penyelidik dan peneroka alam.


* Kedua, Nabi datang untuk memperbaiki akhlak orang jahiliah.
* Ketiga, mengajar serta mendidik al-Quran dan hadis secara berhikmah atau bijaksana.


Semua ini bersesuaian dengan ayat pertama yang diturunkan iaitu Iqra yang bermaksud Bacalah. Lantaran itu umat Islam mestilah berilmu pengetahuan. Umat Islam kini perlu bangkit dan mewarnai apa juga bidang sehingga apa yang dilahirkan mempunyai roh Islam. Contohnya dalam aspek perbankan, muzik, ekonomi, politik, fesyen dan media bercorak berwarna Islam.
Untuk masa hadapan peranan setiap umat Islam itulah yang lebih penting. Siapa mengerjakan apa dengan cara yang bagaimana perlu menjadi fokus agar Islam tidak lagi boleh diperkotak-katikkan oleh agama lain.


Setiap individu itu mesti mengambil bahagian yang relevan dengan bidang dan kepakarannya lalu bekerja keras untuk merealisasikan butiran itu. Contoh, ahli ekonomi perlu melawan kekafiran dengan cara-cara ekonomi Islam.


Selain itu, seperkara yang perlu dicontohi umat Islam ialah meniru sifat-sifat Nabi Muhammad.
Ini jelas diterangkan dalam surah al-Fath ayat 29
bermaksud: Muhammad itu adalah utusan Allah dan orang-orang yang bersama dengan dia adalah keras terhadap orang-orang kafir, tetapi berkasih sayang sesama mereka, kamu lihat mereka rukuk dan sujud mencari kurnia Allah dan keredaan-Nya, tanda-tanda mereka tampak pada muka mereka dari bekas sujud...


“Tanpa lima karakter ini iaitu; tegas kepada kekafiran dan orang kafir, berlembut kepada saudara sesama Islam, kehidupannya bagaikan selalu rukuk dan sujud, meneroka bumi dengan cara yang diredai Tuhan dan Baginda orang yang rendah hati atau tidak sombong, jangan sekali-kali kita menyebut kita adalah umatnya.


“Sayangnya umat Muhammad kini banyak yang tersasar daripada akhlak Rasulullah. Lihat sahaja kini, umat Islam semakin sukar dibezakan sama ada dari segi pertuturan, pergaulan, pakaian malah apa sahaja kerana semuanya seakan-akan serupa dengan orang kafir.
Apabila sesama Islam pula, kita langsung tidak boleh berkompromi berbanding apabila berurusan dengan orang kafir.


Nabi Muhammad juga sejak kecil sudah menggembala kambing dan berdagang. Sungguhpun ada masanya dihabiskan di Gua Hira untuk bermeditasi tetapi ia dilakukan tidak sepanjang waktu.
Secara tidak langsung ini menjelaskan kepada kita bahawa aspek ekonomi sentiasa menjadi keutamaan baginda.


Lebih menghairankan mengapa umat Islam sekarang seakan mengenepikan penglibatan dalam sektor ekonomi sehingga dipegang oleh orang asing? Sedangkan Nabi telah menunjukkan bahawa baginda bukan sahaja menumpukan kepada urusan dakwah tetapi kekuatan dan kehebatan ekonomi umat Islam suatu masa dahulu memang tiada tolok bandingannya.
Sambutan Maulidur Rasul, Sabtu ini adalah waktu yang tepat untuk mengorak langkah menjadikan Islam itu ‘masuk’ ke dalam setiap kehidupan umat Islam.


Namun kita akui tugas itu bukanlah mudah dan memerlukan kerja kuat, keazaman serta keyakinan untuk berjaya. Bak kata pepatah, hendak seribu daya, tak hendak seribu dalih.
Umat Islam tidak seharusnya hanya mengutamakan akhirat semata-mata sehingga meninggalkan langsung urusan duniawi kerana itu lebih merugikan umat Islam di dunia dan di akhirat.


Sebagai khalifah Allah di muka bumi maka kita perlu memakmurkan bumi Allah. Kita tidak boleh lari dari dunia dan kena ikut serta, cuma jangan lalai dan menjadi pengikut.

Dosa umpat kekal jika tak diampun mangsa

MENGUMPAT ialah menceritakan atau menyebut keburukan atau kekurangan seseorang kepada orang lain. Mengumpat berlaku sama ada disedari atau tidak. Perbuatan itu termasuk apabila menyebut atau menceritakan keburukan biarpun tanpa menyebut nama pelakunya tetapi diketahui oleh orang yang mendengarnya.

Rasulullah menjelaskan mengenai mengumpat dalam sabdanya, bermaksud, "mengumpat itu ialah apabila kamu menyebut perihal saudaramu dengan sesuatu perkara yang dibencinya" (Hadis Riwayat Muslim).

Memandangkan betapa buruk dan hinanya mengumpat, ia disamakan seperti memakan bangkai saudara seagama. Manusia waras tidak sanggup memakan daging manusia, inikan pula daging saudara sendiri.

Dosa mengumpat bukan saja besar, malah antara dosa yang tidak akan diampunkan oleh Allah biarpun pelakunya benar-benar bertaubat. Ia hanya layak diampunkan oleh orang yang diumpat. Selagi orang yang diumpat tidak mengampunkan, maka dosa itu akan kekal dan menerima pembalasan di akhirat.

Disebabkan mengumpat terlalu biasa dilakukan, maka ia tidak dirasakan lagi sebagai satu perbuatan dosa. Hakikat inilah perlu direnungkan oleh semua. Mengumpat dan mencari kesalahan orang lain akan mendedahkan diri pelakunya diperlakukan perkara sama oleh orang lain. Allah akan membalas perbuatan itu dengan mendedahkan keburukan pada dirinya.

Sabda Rasulullah, "Wahai orang beriman dengan lidahnya tetapi belum beriman dengan hatinya! Janganlah kamu mengumpat kaum Muslim, dan jangan lah kamu mengintip-intip keaiban. Sesungguhnya, sesiapa yang mengintip keaiban saudaranya, maka Allah akan mengintip keaiban, dan dia akan mendedahkannya, meskipun dia berada dalam rumahnya sendiri" (Hadis riwayat Abu Daud).

Orang yang mengumpat akan mendapat kerugian besar pada hari akhirat. Pada rekod amalan mereka akan dicatatkan sebagai perbuatan menghapuskan pahala.

Sabda Rasulullah bermaksud : "Perbuatan mengumpat itu samalah seperti api memakan ranting kayu kering".

Pahala yang dikumpulkan sebelum itu akan musnah atau dihapuskan seperti mudahnya api memakan kayu kering sehingga tidak tinggal apa-apa lagi.

Diriwayatkan oleh Abu Ummah al-Bahili, di akhirat seorang terkejut besar apabila melihat catatan amalan kebaikan yang tidak pernah dilakukannya didunia. Maka, dia berkata kepada Allah "Wahai Tuhanku, dari manakah datangnya kebaikan yang banyak ini, sedangkan aku tidak pernah melakukannya".

Maka Allah menjawab: "Semua itu kebaikan (pahala) orang yang mengumpat engkau tanpa engkau ketahui".

Sebaliknya, jika pahala orang yang mengumpat tidak ada lagi untuk diberikan kepada orang diumpat, maka dosa orang yang diumpat akan dipindahkan kepada orang yang mengumpat. Inilah dikatakan orang muflis di akhirat nanti.

Memandangkan betapa buruknya sifat mengumpat, kita wajib berusaha mengelakkan diri daripada melakukannya. Oleh itu perbanyak zikir supaya dapat menghindarkan diri daripada mengumpat.

Islam menganjurkan beberapa kaedah untuk menghindarkan diri kita daripada terjerumus ke dalam budaya hidup suka mengumpat ini. Antaranya ialah:
• Jika kita mengingati bahawa apabila kita mengumpat, kita akan diumpat balik, sudah tentu kita tidak akan mengumpat. Elakkan berbuat jahat kepada orang yang tidak berbuat jahat kepada kita.
• Manusia perlu memenuhi keperluan intelek seperti mencari ilmu, berfikir, memerhati, menanggapi dan membuat spekulasi. Maka, orang yang melakukan sebaliknya bererti tidak memenuhi keperluan intelek. Tidakkah bererti apabila kita mengumpat bermakna jiwa kita jahat? Luar nampak cantik, tetapi di dalam sudah busuk dan berulat.
• Ingat dosa. Larangan Islam terhadap perbuatan mengumpat sudah cukup untuk memotivasikan diri setiap individu. Tidak ada manusia normal sanggup memakan bangkai seseorang.

Perlu diingat bahawa ada umpatan tidak mendatangkan dosa bahkan menjadi harus seperti seorang isteri yang mengadu kepada hakim untuk mendapatkan keadilan. Maka si isteri sudah tentu perlu menyatakan keburukan si suami untuk dipertimbangkan oleh hakim.

Begitu juga dengan umpatan yang dilakukan seseorang terhadap individu yang zalim.

Kisah hidup masyarakat dipaparkan melalui TV, filem dan cerpen dan novel, ia bukanlah umpatan kerana bersifat umum untuk membentuk naratif sebuah cerita.

Oleh Wan Marzuki Wan Ramli

Rabu, 16 Disember 2009

Berpada-pada dalam berhibur


Manusia secara fitrahnya gemar berhibur. Adakalanya manusia terhibur apabila mendengar muzik dan ada juga yang terhibur apabila mendengar bunyi-bunyi alam seperti deruan ombak, kicauan burung atau desiran angin.
Bagaimanapun, masih timbul perdebatan dalam masyarakat sama ada hiburan khususnya yang melibatkan muzik dibolehkan atau tidak dalam Islam.

S: Apakah kaitan hiburan dengan manusia?

J: Pada umumnya, manusia telah lama terlibat dengan hiburan. Dari segi antropologi dan sosiologi manusia, hiburan memang telah wujud sejak sebelum kedatangan Islam lagi.
Apabila kita fokuskan hiburan kepada muzik, memang menjadi fitrah manusia menyukainya. Orang Arab dahulu pun memang sudah menggunakan bunyi-bunyian seperti gendang untuk melambangkan sesuatu keadaan. Kalau semasa perang ia akan diketuk kuat. Dalam majlis perkahwinan pula dihiasi dengan pukulan kompang dan tarian menggunakan gitar.
Pokoknya, semua ini digunakan untuk menenangkan fikiran.

Berdasarkan sirah, Rasulullah pernah bersabda: Wahai Bilal, tenangkan kami. (Riwayat Bukhari)Sebabnya, Saidina Bilal adalah seorang muazin yang terkemuka pada ketika itu. Jadi, melalui laungan azannya, Rasulullah dan para sahabat menjadi tenang.

Dalam satu kisah, Rasulullah dan Saidatina Aisyah sedang mendengar lagu daripada dua hamba perempuan di Buath, kawasan peranginan di Madinah. Tiba-tiba Saidina Abu Bakar datang dan berkata, apa ini syaitan dalam rumah Rasulullah. Kemudian Nabi bersabda, biarkan mereka Abu Bakar. (Riwayat Bukhari)Cuma dalam kisah ini, Rasulullah tidak memandang ke arah hamba tersebut.

S:Bagaimanapun ada pendapat mengatakan muzik itu haram. Benarkah?

J: Memang ada ulama yang berpendapat sedemikian. Ini antara lain hasil tafsiran mereka tentang ayat Allah iaitu lahwun sebagai mana yang terdapat dalam surah Luqman.
Firman Allah, Dan di antara manusia (ada) orang yang memilih serta membelanjakan hartanya kepada cerita-cerita dan perkara-perkara hiburan yang melalaikan, yang berakibat menyesatkan (dirinya dan orang ramai)dari agama Allah dengan tidak berdasarkan sebarang pengetahuan...(Luqman: 6)

Sebanyak 24 daripada 26 ulama termasuk Imam Syaukani, Imam As-Sayuti dan Imam at-Tabari berpendapat lahwun itu adalah lagu-lagu atau muzik dan perkara yang berkaitan dengannya.

Walhal terdapat satu perkataan lagi iaitu laghwun yang ditafsirkan sebagai benda yang melalaikan dan sia-sia.

Dalam perkara ini, Imam At-Tabari merumuskan terdapat 11 dalil yang menjelaskan muzik dan hiburan yang tidak dibenarkan dalam Islam.

S:Jadi, salahlah kita berhibur terutama dengan menggunakan alat muzik?

J: Islam adalah agama yang relevan sepanjang zaman. Jadi ia meliputi semua bab termasuklah berhibur.

Ulama besar yang juga penulis kitab Ihya’ Ulumuddin, Imam al-Ghazali yang membuat kajian di hampir semua tempat yang didiami oleh orang Islam memberikan pandangan yang berbeza dalam soal ini.

Menurut beliau, muzik itu sebenarnya ialah bunyi-bunyi yang dikumpulkan hasil dipetik, diketuk atau desiran angin. Ia hanyalah bunyi-bunyian alam yang membawa ketenangan kepada pendengarnya.

Seorang lagi ulama abad ke-21 iaitu Prof. Dr. Yusuf Qaradawi dalam bukunya Halal dan Haram turut membincangkan soal hiburan ini.
Beliau membuktikan bahawa kesemua 11 dalil yang mengharamkan muzik itu boleh ditepis. Sebabnya, kebanyakan keputusan itu dibuat oleh penilai-penilai hadis bukannya kata putus Rasulullah s.a.w.

Dalam satu peristiwa, selepas selesai majlis akad perkahwinan Nabi, tiba-tiba ada beberapa anak gadis (hamba) yang menyanyi, menari dan mengetuk-ngetuk gendang. Antara liriknya ialah, “Berasa kesal dengan kematian saudara Muslim pada perang Badar tetapi gembira kerana Nabi mengetahui apa yang akan berlaku esok”.

Rasulullah kemudiannya menegur kesalahan ayat yang baginda mengetahui tentang yang akan berlaku esok tetapi baginda tidak menegur lirik yang satu lagi. Pada majlis itu, ia turut dihadiri oleh sahabat-sahabat baginda.

Dalam hadis yang lain, Rasullullah bersabda: “Hebahkanlah nikah dan pukullah rebana untuk tujuan itu. Mudah-mudahan orang mendoakan perkahwinan tersebut”. (riwayat Tirmidzi)
Ini adalah antara hujah bahawa Islam itu membenar atau mengharuskan hiburan. Dalam hadis pertama tadi, jika hiburan haram, sudah tentu Rasulullah akan melarang anak-anak gadis tersebut daripada menyanyi dan menari.

S:Jadi, apakah intipati rumusan oleh Imam al-Ghazali dalam bab ini?

J: Imam al-Ghazali yang mengkaji dengan akal membuat beberapa kesimpulan tentang hiburan.
Disebabkan hiburan adalah fitrah manusia dan bunyi muzik adalah himpunan suara makhluk yang Allah jadikan, beliau berpendapat tidak boleh mengharamkan muzik secara mutlak.
Dalam pada itu, tidak ada juga dalil yang menggalak atau amat menyuruh kita mendengar hiburan. Sebaik-baiknya berhibur itu sederhana atau pertengahan sahaja, setakat untuk menghilangkan kebosanan.

Larangan Rasulullah untuk berhibur pada zaman awal kedatangan Islam adalah untuk mengelak menularkan budaya orang Arab kuno. Mereka ini lazimnya apabila berhibur akan disertai oleh tarian gelek dan juga arak.

Baginda tidak mahu dalam tempoh awal kedatangan Islam dijejaskan oleh tabiat buruk masyarakat jahiliah atau umat Islam ketika itu teringat semula zaman tersebut.

Sebab itu, pengharaman muzik boleh dikatakan kerana persekitaran bukan kerana zatnya. Gitar itu tidak haram tetapi bila dimainkan dalam majlis yang bercampur aduk dengan arak dan pergaulan bebas lelaki perempuan yang bukan mahram, ia menjadi haram.

S:Bagaimana hendak mentakrifkan kedudukan pertengahan dalam berhibur ini sebab apabila mendengar muzik selalunya kita leka?

J: Bagi golongan anak- anak dan remaja, hiburan adalah perlu. Kita tidak boleh terus menghalang mereka. Ingatlah pesan Saidina Ali, “bila dipaksa membuat benda yang tidak disukai, hati itu akan mati.”

Bagi golongan ini, secara psikologinya memang mereka perlu berhibur tetapi tetap ada batasnya. Bagi penganjur pula, hendaklah menyediakan kemudahan tempat solat, memaklumkan kepada penonton waktu solat telah masuk dan majlis dihentikan seketika untuk solat.

Bagaimanapun, bagi golongan yang peringkat umurnya sudah matang, tidak payah lagi banyak berhibur. Sebabnya, terlalu banyak berhibur ini akan menyebabkan hati menjadi keras atau dalam istilah sufinya mati.

S:Ada yang berpendapat muzik yang dibenarkan oleh Islam itu hanyalah nasyid, benarkah pendangan begini?

J: Dr. Yusuf Qaradawi dan juga fatwa Majlis Fatwa Kebangsaan menetapkan bahawa semua lagu itu sifat asalnya harus didengar.

Malah Dr. Yusuf Qaradawi turut menggariskan empat sebab lagu itu menjadi haram. Pertama, melanggar tatasusila Islam, kedua (menyanyi atau menyampaikannya dalam bentuk syahwat dan berlenggang lenggok),
ketiga (jangan nyanyian atau hiburan itu meninggalkan tanggungjawab utama seperti solat) dan keempat (jangan disertai oleh benda haram seperti
minum arak dan pergaulan bebas lelaki dan perempuan yang bukan mahram).

Lagu yang diharuskan tidak semestinya nasyid sahaja. Ada banyak lagu yang liriknya bagus seperti mengajak masyarakat cintakan negara, hormat pada ibu bapa dan lagu-lagu puisi untuk menyedarkan masyarakat. Semua ini boleh kita dengar. Cuma eloklah kita berpada-pada.

Selasa, 15 Disember 2009

Pendaftaran Baru 2010


Madrasah Manabi'ul Ulum adalah sebuah institusi pengajian Islam yang telah diasaskan pada tahun 1351 Hijrah (1932 Masihi) oleh Syeikh Othman Jalaluddin iaitu salah seorang ulama’ tersohor di nusantara ini. Jika dahulunya mengamalkan sistem pondok sepenuhnya, tetapi kini ia menggabungkan antara sistem pondok dan sistem persekolahan moden dengan penekanan terhadap Bahasa Arab.

*Objektif Penubuhan*
Memupuk semangat cintakan ilmu-ilmu Islam untuk diamalkan dan dikembangkan demi melahirkan generasi yang berilmu, beramal dan bertakwa. - Menyediakan peluang belajar ilmu-ilmu Islam bermula dari peringkat rendah hingga ke peringkat tinggi.Menyediakan pelbagai program kepada para pelajar sebagai persiapan rapi apabila berhadapan dengan masyarakat dan kehidupan moden yang serba mencabar seperti melengkapkan mereka dengan ilmu dalam bidang IT dan sebagainya.

*Sistem Pondok (Umumi)*
Sistem ini lebih menekankan terhadap kehalusan ilmu, ketelitian pembacaan dan pemupukan nilai baik. Ia juga lebih tertumpu kepada pembacaan kitab-kitab turath dari kulit ke kulit.

*Sistem Persekolahan (Nizhomi)*
- Peralihan
Selama setahun bagi pelajar lepasan darjah enam yang tiada kelayakan menduduki tingkatan 1.
- Tingkatan 1,2,3 (Menengah Rendah)
Selama tiga tahun.
- Tingkatan 4,5,6 (Menengah Atas)
Selama tiga tahun.

*Pakaian Seragam Sekolah*
Lelaki
- Baju putih berlengan panjang (potongan Raihan) dan seluar hitam serta kopiah putih.
Perempuan
- Baju kurung dan tudung labuh berwarna putih serta kain sarung berwarna hijau.

*Mata Pelajaran/Subjek*
Menengah Rendah
+ Agama - Al-Quran & Tajwid, Tafsir, Hadis, Tauhid, Fekah, Akhlak, Sirah, Nahu, Sorof, Muhadasah, Insyak, Mutalaah, Imlak, Jawi, Khat. + Akademik - Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Bahasa Arab, Pendidikan Islam, Matematik, Sains, Sejarah, Geografi, Kemahiran Hidup. Menengah Atas
+ Agama - Al-Quran & Tajwid, Tafsir,Ulum Quran, Hadis, Mustolah Hadis, Tauhid, Fekah, Faraidh, Usul Fekah, Tarikh Islami, Nahu, Sorof, Insyak, Mutalaah,Adab Nusus, Balaghah, Mantiq, Arudh Qafiah.
+ Akademik - Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Bahasa Arab Tinggi, Pendidikan Syariah Islamiah, Pendidikan Al-Quran & Sunnah, Tasawwur Islam, Matematik, Sains, Sejarah.

*Peperiksaan Yang Ditawarkan*
 PMR - Tingkatan 3
 SMRA - Tingkatan 4
 SPM - Tingkatan 5
 STA & STAM - Tingkatan 6
 Syahadah ‘Aliah MMU - Tingkatan 6

*Peluang Melanjutkan Pengajian* (Pelajar lepasan madrasah ini diterima masuk ke pusat-pusat pengajian tinggi di luar negara seperti Universiti Al-Azhar di Mesir, Institut Agama Islam Negeri(IAIN) di Indonesia disamping institusi-institusi pengajian tinggi di dalam negeri (IPTA & IPTS).

*Pendaftaran*


 Pendaftaran dibuka pada setiap awal sesi persekolahan bagi tahun semasa, namun begitu pengambilan pelajar dibuka sepanjang tahun.


*Yuran Pengajian*
*Pendaftaran - RM 50

*Yuran Bulanan - Tingkatan 1-3 RM 25 (RM 250 setahun)
- Tingkatan 4-6 RM 30 (RM 300 setahun).

Untuk Keterangan Lanjut, Sila Hubungi :
 04 5212509 (PEJABAT)
013 4487234 (US MAHDI)
013 4032292 (SULAIMAN)
019 4320242 (US YUSOF)
019 4723390 (US MANSUR)
Assalamualaikum, tepat jam 7.00 pm pada hari selasa tanggal 15/12/2009 saya mula membuat blog ini. Saya harap boleh berkongsi dengan kawan-kawan apa-apa saja artikel yang saya berikan nanti, kawan-kawan bolehlah bagi pandangan dan pendapat buat saya nanti yang dapat membina. Apa-apa pun doakan lah buat saya ok! Semoga Berjaya.